Paparan berikut diambil dari Blog: Ummuabbas dengan tajuk
(Berita ini sudah diedit sedikit tanpa menjejaskan kandungan asal-P)
Sumber foto; http://beaut.ie/blog/wp
JEDDAH– Untuk mendapat calon suami yang tidak tamak, seorang gadis Arab Saudi, yang memiliki simpanan tujuh juta riyal (sekitar 7 juta ringgit) sengaja mengaku sebagai wanita biasa yang miskin.
Tidak sekadar itu, si gadis juga mengaku berparas tidak cantik dan berkulit hitam dengan tujuan mendapatkan calon suami yang benar-benar menyintainya secara jujur.
“Tujuan menyembunyikan jatidiri sebenarnya bertujuan agar si gadis mendapat suami yang benar-benar menyintainya dengan tulus. Bukan kerana hartanya,” kata harian Al-Madinah.
Jatidiri palsu tersebut ditulis dalam borang. Akhirnya, calon suami, yang tulus menerima apa adanya sesuai dengan pengakuan dalam borang itu. Lelaki tersebut tidak menyangka mendapatkan “bidadari” yang hampir sempurna.
Hakikatnya, selain kaya, gadis itu juga berparas cantik, berkulit putih dengan budi pekerti mulia, di samping berasal dari keturunan terhormat.
Mingguan Wasilah, 7 Safar 1428H/ 25 Februari 2007, h. 19
*****************
Foto hiasan dari http://www.abc.net.au
Ini adalah catatan lama saya yakni sebelum blog ini dibuka. Moga memberi manfaat.
Cuba tanya diri kita: apakah kita mampu menjadi pemuda yang menang seperti contoh realiti di atas? Menang melawan nafsu sendiri. Musuh utama kita ialah syahwat yang sering mengajak ke arah kejahatan yang hidup sejasad dan senyawa dengan kita.
IKHLAS adalah sumber energy terpenting dalam melakukan apa perkara sekalipun. Ia berfungsi menjadi benteng paling ampuh berdepan tribulasi dunia yang semakin mencabar dan menikam IMAN dan TAQWA.
Apabila Kamu Mengejar Dunia, Dunia Lari Meninggalkan Kamu.
Apabila Kamu Mengejar Akhirat, Dunia Datang Mengejar Kamu.
Selain faktor dalam kisah realiti di atas iaitu cantik, berharta dan berketurunan mulia, termasuk dalam skop duniawi ini ialah betapa ramai para pemuda, bapa dan datuk mengejar perempuan bagi melengkapkan cawangan kedua, ketiga dan keempat namun wanita itu lari daripadanya. Tambahan pula, tata susila melamar atau dalam proses ke arah tercapai akad yang sah dicemari virus yang tidak diredai Allah SWT.
Sama ada Allah menjauhkan apa yang kita buru dari digapai atau kita berjaya mendapatnya tanpa diiringi barakah dari Allah SWT. Mana pilihan kita? Kalau Allah SWT keutamaan kita, kita sangat bersyukur apabila ditakdirkan perkara pertama kerana ia akan mengembalikan kita kepada Allah. Kalau perkara kedua, dibimbangi menjadi ‘istidraj’ . Istidraj ialah nikmat yang dikurniakan Allah bertujuan menjauhkan manusia dari rahmat Ilahi. Semakin bertambah nikmat, bertambah kekufurannya kepada Allah. Na’uzubillah minzalik.
Lihatlah pula, para lelaki yang benar-benar memelihara hatinya untuk Allah SWT, para wanita atau wali kepada wanita berebut-rebut mengejarnya. Bukan kerana handsomenya dia, bukan kerana kaya dan berjawatan tinggi atau berpengaruh dalam masyarakat tapi semata-mata kerana hati sejuk mendengar perihal akhlaknya.
Masih ramaikah lelaki berkualiti sebegini pada hari ini?
Dewasa ini, ramai para suami berbangga apabila memperkenalkan isterinya sebagai seorang yang jelita, kaya, berjawatan dan bergaji tinggi. Namun malu-malu dan segan bila isteri tidak secantik mana, hanya tinggal di rumah jaga anak-anak, bukan pula keturunan berpangkat dan kaya.
Nilai iman dan taqwa sudah jatuh ke ranking paling bawah kerana ia tidak akan menjadi topik perbualan utama.
Kita hampir lupa atau langsung tidak ingat siapakah tokoh penghulu wanita syurga?
Kaya atau miskin puteri kesayangan Rasulullah SAW? Apa kerjaya dia? Apa jawatan dia? Kalau pun ada berita menyifatkan Fatimah al-Zahra sebagai rupawan, berapa banyak hadis atau athar yang membesar-besarkan paras beliau berbanding kisah-kisah penyubur iman dan taqwa?
Cubalah tanya kepada para pemuda kita, apabila kita mahu padankan dengan mana-mana muslimah kita (atau dia cari sendiri), apakah soalan pertama yang terpacul dari lidahnya?
“ Comel ke? Putih ke hitam? Kerja apa?….”
Berapa kerat pemuda yang bertanya “Apakah si gadis seorang yang berakhlak mulia?”
“Apakah symptom iman muslimah tersebut? ”
“ Apakah si gadis pencinta kebenaran? Atau gigih mempertahankan maruah diri dan agamanya?”
Asas pembinaan Baitul Muslim di kalangan umat Islam akan menjadi penentu kualiti individu dan rumahtangga masyarakat Islam.
Ulasan ini berdasarkan cerita di atas. Sekadar memanaskan semula pesanan Nabi SAW mengenai kriteria utama memilih pasangan. Bagi yang muslimah, harus difahami sebaliknya.
Pemuda dalam kisah di atas telah mendapat bonus di dunia hasil keikhlasannya; Sudahlah sang bunga cantik berkembang, berbau wangi (berakhlak mulia), berketurunan mulia dan berharta pula.
Wa la hawla wala quwwata illa billah al-‘aliyy al-azhim.
Moga Allah mengampunkan kelemahan kita, memberi kekuatan dan senantiasa memandu kita hingga selamat sampai ke destinasi abadi. Amin.
Tag :
WANITA